Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Pembukaan Muzium Budaya Borneo di Kuching, malam tadi. Turut kelihatan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

KUCHING: Pelancaran Muzium Budaya Borneo merupakan antara usaha Kerajaan Sarawak memacu kemajuan ekonomi negeri melalui pembangunan budaya dan industri kreatif sebagai kuasa lestari.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kos penubuhan muzium yang mencecah RM323 juta harus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan ekonomi negeri.

“Konsep menggunakan muzium sebagai rangsangan pertumbuhan ekonomi budaya adalah terbukti dan telah melahirkan kejayaan serta menjadi lebih popular di negara maju dan membangun.

“Sebagai contoh, Muzium Bilbao Guggenheim yang terkenal di Sepanyol dibuka pada tahun 1997, telah mencipta kesan yang luar biasa dan menjadi persekitaran yang merangsang pembangunan keseluruhan bandar.

“Lebih dekat dengan kita di Asia, Muzium Negara China di Beijing dan Muzium Sains dan Teknologi Shanghai menerima lebih 14.4 juta pelawat pada 2018, ia merupakan faktor tarikan yang kuat dalam menarik pelancong sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi bandar itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Muzium Budaya Borneo yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmuddi Kuching, malam tadi.

Menurutnya, ia merupakan hasil positif yang disasarkan oleh Kerajaan Sarawak apabila melaksanakan inisiatif Kampus Muzium Sarawak pada tahun 2014 dan yakin usaha tersebut bakal membuahkan hasil.

“Sementara Jabatan Muzium Sarawak boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menghubungkan budaya dengan kreativiti disamping melindungi dan memelihara warisan.

“Ini seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak dengan menggalakkan pekerjaan dan mempunyai kesan ekonomi langsung dan tidak langsung lain dalam sektor perkhidmatan,” tambahnya.

Suara Sarawak