KUCHING: Orang ramai kini boleh menempah tiket kemasukan ke Muzium Budaya Borneo secara dalam talian bermula hari ini.

Ia bagi slot kemasukan bulan Mac ke muzium kedua terbesar di Asia Tenggara yang bakal membuka pintunya kepada orang ramai bermula 9 Mac depan.

Untuk tiga bulan pertama, kemasukan adalah percuma.

Dalam catatan di Facebooknya, pihak muzium berkata pelawat akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang dengan hanya 300 slot bagi setiap sesi.

“Sesi pagi adalah dari 9 pagi hingga 1 petang pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu dan cuti umum bermula jam 9.30 pagi hingga 1 petang.

“Sementara bagi sesi petang, lawatan bermula jam 1 hingga 4.45 petang bagi hari bekerja. Pada hujung minggu pula bermula jam 1 hingga 4.30 petang,” katanya.

Menurutnya lagi, borang tempahan dalam talian adalah melalui pautan https://museum.sarawak.gov.my dan hendaklah dibuat selewat-lewatnya jam 4 petang sehari sebelum tarikh yang dipilih.

“Satu borang adalah untuk seorang individu dan pengesahan tempahan akan diterima melalui email,” ujarnya.

Muzium terbesar di Malaysia itu bakal dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada jam 8 malam, 4 Mac depan.

Suara Sarawak