KUCHING: Lorong khas untuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu mengandung akan diwujudkan di pasar raya Mydin di sini bagi memenuhi keperluan golongan tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, beliau pada awalnya mencadangkan pelaksanaan perkara tersebut kepada Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Wira Ameer Ali Mydin hari ini dan ia telah dipersetujui.

“Beliau (Ameer) juga membenarkan saya untuk mengumumkan perkara baik ini,” katanya pada Majlis Kerjasama Strategik Kenyalang Gold Card (KGC) dan Perasmian Kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin Prihatin Syawal 2022, Peringkat Sarawak di Mydin Petra Jaya, dekat sini, hari ini.

Beliau juga berharap agar mereka yang tidak tergolong dalam tiga kumpulan tersebut dapat memberikan kerjasama yang baik.

“Ini adalah untuk memudahkan khususnya warga emas, jadi mereka yang lain pula jangan menggunakan lorong khas itu,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau berharap agar selain Mydin terdapat juga kedai, pasar raya, pusat membeli-belah besar yang lain turut dapat melaksanakan perkara tersebut.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohd Razi Sitam, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad, Pengarah Mydin Mohamed Holdings Bhd Datin Wira Dr. Siti Hawa Mohd serta Pegawai Eksekutif Socoe Sdn. Bhd JW Sam.

RAKAMAN KENANGAN… Fatimah (empat kiri) dan Ameer (tiga kanan) merakam gambar kenangan bersama-sama Rosey (dua kiri), Noriah (satu kiri), Dr. Siti Hawa (tiga kanan), Razi (dua kanan) dan JW Sam (satu kanan) pada Majlis Kerjasama Strategik KGC di Mydin Petra Jaya, di Kuching, hari ini. (F: Ramidi)

Suara Sarawak