Naik gaji minimum, syarikat kecil tersepit

KERAJAAN Persekutuan baru-baru ini menetapkan gaji minimum pekerja kepada RM1,500.

Sudah pasti berita ini melegakan rakyat terutamanya mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor sama ada kerajaan, badan berkanun dan swasta.

Mana tidaknya, dengan kos sara hidup yang kian meningkat, semestinya gaji minimum ini adalah perkara utama yang difikirkan oleh rakyat yang kian kesempitan.

Krisis kewangan menjadi perbualan utama di media sosial apabila anak-anak memulakan alam persekolahan, minyak kereta yang mahal termasuk barangan keperluan asas seperti gula, beras, minyak masak, ayam, telur dan sebagainya.

Malah, kenaikan harga sayur pun menjadi perdebatan rakyat apabila mereka makan di kedai dikenakan bayaran melebihi bajet seharian.

Ini belum termasuk kos bil air, elektrik, bayaran rumah, sewa, kereta dan sebagainya selain memberi ibu bapa duit, perbelanjaan anak-anak, insurans dan simpanan.

Ini merupakan senario kehidupan rakyat pada masa ini, bukan sahaja semasa penularan pandemik Covid-19 namun memang telah dialami sebelum itu. Tetapi, penularan Covid-19 menyebabkan isu kos sara hidup ini semakin meruncing kerana kesan tiada pekerjaan, hilang pekerjaan dan dibuang kerja semakin menjadi-jadi.

Ia bukan kesalahan mana-mana pihak kerana masing-masing sedang bertarung menghadapi cabaran seperti syarikat kecil yang tidak mampu menampung gaji pekerja, peniaga kecil dan peniaga kedai makan yang terpaksa ditutup operasinya.

Tetapi keadaan ini menjadikan rakyat mengalami masalah tiada punca pendapatan dan mencari pekerjaan adalah perkara paling sukar waktu ini.

Kenaikan gaji minimum RM1,500 juga sudah pasti menjadi berita buruk kepada pihak majikan yang sedang berusaha untuk mengembalikan ekonomi seperti biasa.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, apabila kerajaan mengenakan peraturan ini bagi membela nasib rakyat namun majikan juga rakyat yang sedang berusaha memperbaiki kesan buruk daripada pandemik Covid-19.

Ia mungkin tidak menjadi masalah kepada syarikat-syarikat besar kerana garis panduan untuk gaji bagi syarikat mega biasanya tidak kurang daripada RM1,500 ke RM1,800 sebulan.

Maka ia tidak akan memberi kesan kepada syarikat besar sebab peruntukan bagi gaji pekerja baharu dalam syarikat telah ditetapkan sedemikian.

Malah, skop kerja bagi pekerja yang mempunyai gaji sebesar ini juga telah ditetapkan dengan terma dan syarat yang telah mereka gariskan.

Masalahnya sekarang adalah bagi syarikat kecil dan sederhana yang hanya memerlukan tenaga pekerja seperti kilang keropok lekor, pasar raya, kedai runcit dan kedai makan.

Perlu diingatkan bahawa gaji yang diberikan oleh majikan adalah berdasarkan kepada taraf pendidikan, pengalaman bekerja dan bakat yang dimiliki.

Apabila seorang siswazah ijazah memohon pekerjaan sebagai pekerja di sebuah syarikat terkemuka ditawarkan gaji sebanyak RM1,500 dibandingkan dengan seorang lulusan SPM yang memohon pekerjaan di sebuah kedai membeli-belah ditawarkan gaji sebanyak RM1,500 kita boleh melihat bahawa nilai sijil ijazah sudah tidak memberi apa-apa makna lagi.

Hal ini perlu diambil perhatian sama ada kerajaan atau majikan kerana ia bakal menyebabkan lambakan siswazah yang bersijil tetapi sijil yang tidak berharga

Mana tidaknya, apabila gaji minimum ditetapkan sebanyak RM1,500 berbanding RM1,200 sebelum ini dalam keadaan ekonomi baru hendak pulih, ia memberi tekanan kepada majikan dan sudah pasti majikan mengawal jumlah pekerja yang akan diambil bekerja.

Akibatnya, mereka akan memberi lambakan kerja kepada pekerja yang sedia ada sehingga wujud beban kerja dan menyebabkan pekerja menjadi kurang efektif dan tidak cergas akibat terlampau letih, tidak puas hati, tiada semangat atau sebagainya.

Ia juga memberi kesan kepada majikan untuk tidak mahu menambah jumlah pekerja lagi meskipun perniagaan mereka memerlukan ramai lagi pekerja oleh kerana memikirkan keadaan ekonomi yang tidak mampu menampung gaji pekerja yang tinggi.

Ini menjadikan keadaan ekonomi bertambah buruk apabila lambakan orang tidak mempunyai pekerjaan disebabkan majikan terlalu memilih atau meminta syarat yang lebih tinggi pada masa yang akan datang seperti mempunyai ijazah, lesen memandu, mempunyai kemahiran tertentu selain daripada tugasan asal dan sebagainya.

Sebab itu, impak kepada pelaksanaan gaji minimum ini perlu dikaji semula agar dapat memberikan situasi ‘menang-menang’ antara pekerja dan majikan.

Ia memerlukan perbincangan menyeluruh pemain industri, majikan dan kerajaan kerana mahu atau tidak keperluan untuk mengambil pekerja tertakluk kepada industri. Bukan hanya kerana Covid-19, garis panduan menaikkan gaji minimum ini seharusnya perlu dikaji agar dapat menyelaraskan segala sudut sama ada taraf pendidikan, pengalaman, sosial, ekonomi semasa dan sebagainya.

Memang perlu ada satu makanisme yang baik untuk semua kumpulan pelaksana dalam syarikat melihat secara mendalam keadaan ini untuk tidak berlaku bias kepada pekerja dan dalam pada masa yang sama tidak menindas syarikat kecil dan sederhana yang juga sedang bertarung memulihkan ekonomi mereka.

Suara Sarawak