SIBU: Tiga sekeluarga yang rentung dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Bahagia Jaya, Jalan Burung Beliris malam tadi adalah seorang wanita, anak lelakinya dan cucu perempuannya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata mangsa yang terkorban ialah Rasidah Suut, 80, cucunya Soriaty Abdullah, 20 dan anaknya Abdullah Bus, 64.

Menurutnya lagi, enam mangsa yang terselamat ialah Nur Fazli Mahdi, 27, Taib Bus, 56, Mohd Zaini Taib, 25, Rafidah Bat, 44, NurHijrah Taib, 12 dan Nur Damia Taib, 8.

“Kebakaran melibatkan dua buah rumah satu tingkat.

“Rumah pertama terbakar 90 peratus manakala rumah kedua musnah 100 peratus,” katanya.

Katanya mayat ketiga-tiga mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.12 malam dan segera menggerakkan sebuah jentera FRT Scania dan EMRS yang disertai seramai 11 anggotanya.

Manakala BBP Sibu Sentral yang bertindak sebagai balai bantuan turut mengerakkan sebuah jentera FRT Scania dan EMRS dengan seramai lapan anggotanya.

Turut berada di lokasi kejadian ialah anggota polis, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sesco.

Suara Sarawak