KUCHING: Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menawarkan perkhidmatan Penaksiran Asas Kualiti Udara Dalaman secara percuma kepada syarikat dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pengerusinya Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, ia berikutan pengudaraan di tempat kerja adalah salah satu aspek yang paling penting selain Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan Covid-19.

“Justeru itu, Kementerian Sumber Manusia melalui NIOSH mengambil inisiatif percuma di bawah program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) ini melibatkan lebih 300 syarikat PKS dengan pemeriksaan awal di tempat kerja akan dijalankan oleh Pakar Teknikal NIOSH,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sektor PKS dipilih kerana ia merupakan tunjang atau tulang belakang ekonomi negara dan mengalami kesan teruk akibat pandemik, oleh itu kebajikan kumpulan ini memerlukan perhatian khas.

“Dengan adanya insiatif ini, laporan pemeriksaan awal di tempat kerja dan pemantauan asas kualiti udara dalaman akan disediakan dengan cadangan penambahbaikan serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja,” jelasnya.

Beliau turut menggesa pihak syarikat PKS untuk untuk menghubungi NIOSH bagi mendapatkan perkhidmatan penaksiran asas KUD. Sebarang pertanyaan boleh ditujukan kepada NIOSH melalui e-mail rasmi cmc@niosh.com.my.

Suara Sarawak