BERSEDIA…Oisin bersedia menawan Gunung Everest.

KUCHING: Anak kelahiran Kampung Melinau, Oisin Jangin Bagly, 25, bakal mencipta sejarah tersendiri selepas dipilih sebagai salah seorang daripada empat peserta seluruh Malaysia dalam misi menawan Gunung Everest, April ini.

Beliau menjadi satu-satunya anak kelahiran Sarawak yang dipanggil khas oleh pendaki solo negara, Ravinchandran Tharumalingan selain tiga daripadanya merupakan seorang pendaki dari Sabah dan dua dari semenanjung.

Justeru, Oisin menganggap ia merupakan cabaran besar yang harus dihadapinya demi impian sejak berkecimpung sebagai malim gunung di Gunung Mulu dan Gunung Murut selama hampir 10 tahun.

Beliau yang begitu teruja dengan peluang itu menyuarakan keyakinan akan memberikan usaha sebaik mungkin dalam menjayakan misi sekali gus bakal melakar sejarah buat diri sendiri dan juga sebagai anak Sarawak pertama menjejaki gunung tertinggi dunia itu.

“Sudah pasti hasrat utama saya adalah dapat menawan Gunung Everest dengan jayanya selepas berkecimpung dalam aktiviti pendakian selama hampir 10 tahun sebagai malim gunung di Mulu.

“Ini adalah peluang keemasan saya kerana hasrat pertama untuk mendaki gunung Kota Kinabalu bertukar kepada misi yang lebih mencabar, dan tanggungjawab saya kini untuk memastikan misi tercapai dengan memastikan bendera Sarawak akan berkibar di puncak gunung tertinggi itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Hospital Pakar KPJ Kuching di sini, hari ini.

Tambah Oisin, beliau kini hanya menumpukan latihan kecergasan secara berterusan sebelum berangkat untuk misi tersebut.

Manakala menjelas mengenai pemilihannya, Oisin berkata beliau antara individu yang dipilih oleh Ravi selepas pendaki solo negara itu menemuinya ketika sedang bertugas untuk menjadi malim gunung sekitar tiga bulan lalu di gunung Mulu.

“Saya mendapat tawaran tersebut pada tiga minggu lalu, namun saya sememangnya sudah terbiasa di gunung berikutan bertugas sebagai malim gunung,” katanya.

Jelas Oisin, kemungkinan pengalamannya sebagai malim gunung dan juga keadaan fizikal yang masih cergas antara kelebihan dipilih untuk menyertai misi yang merupakan impiannya sejak dari kecil itu.

Beliau menambah, persiapan misi iaitu ujian kecergasan fizikal untuk menentukan kecerdasan fizikalnya menjelang misi tersebut dibiayai oleh KPJ Kuching manakala persiapan lain atas inisiatif sendiri.

Sementara itu, Pengurus Operasi dan Klinikal KPJ Kuching Thomas Ho Ye Jong, mengesahkan ujian kecergasan fizikal membuktikan Oisin dalam keadaan cergas sepenuhnya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu akan berangkat ke Kuala Lumpur pada 25 Mac ini sebelum berlepas ke Kathmandu dan dijangka memulakan pendakian pada April.

Suara Sarawak