Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menyediakan tapak bazar Ramadan di Satok dan perkarangan tempat letak kereta Mydin Mall Semariang sempena bulan puasa yang bermula bulan depan.Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, proses pendaftaran dan jualan petak akan diadakan pada 26 Mac ini di Auditorium DBKU, Bukit Siol, Jalan Samariang.

Menurutnya, pendaftaran dan jualan tapak bagi Bazar Ramadan Satok bermula pada jam 8.30 pagi hingga 10 pagi manakala Bazar Ramadan Mydin Semariang pada jam 10:30 pagi hingga 11:30 pagi.

Beliau berkata, bilangan tapak yang ditawarkan pada tahun ini adalah terhad bagi mematuhi SOP penjarakan sosial di kalangan penjaja.

“Tapak Bazar Ramadan Satok menyediakan 56 petak jualan dengan kadar bayaran RM225 satu petak bagi minuman serta makanan dan RM250 bagi jualan panggang.

“Bagi Perkarangan tempat letak kereta Mydin Mall Semariang, terdapat 96 petak jualan disediakan dengan kadar bayaran RM150 bagi makanan serta minuman dan RM200 untuk jualan panggang ,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Rahman Junaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Damai, semua pemohon mesti hadir sendiri dan membawa dokumen yang diperlukan.

Antaranya adalah dua keping gambar berukuran pasport pemohon dan seorang pembantu; satu salinan kad pengenalan pemohon dan seorang pembantu; satu salinan sijil kursus pengendali makanan pemohon dan seorang pembantu; satu salinan sijil vaksinasi Covid-19 lengkap dua dos (MySejahtera) pemohon dan seorang pembantu dan yuran pembayaran (tunai).

“Selain itu, kad pengendali makanan akan dikeluarkan dan dicaj sebanyak RM10 untuk setiap penjaja yang telah berdaftar.

“Bagi yang telah mempunyai kad Pengendali Makanan yang masih sah, sila bawa salinan kad tersebut semasa hari pendaftaran,” katanya lagi.

Suara Sarawak