KUCHING: Ordinan Warisan Sarawak 2019 yang berkuat kuasa pada 1 Mac lalu akan membantu memperkukuhkan warisan dan budaya di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ordinan tersebut akan meluaskan lagi skop warisan Sarawak merangkumi warisan bawah air serta warisan budaya ketara dan tidak ketara.

“Ia juga termasuk penubuhan ‘Majlis Warisan Sarawak’ yang akan membantu kerajaan dalam polisi yang berkaitan dengan warisan.

“Di samping itu, di bawah ordinan ini juga ditubuhkan ‘Dana Warisan Sarawak’ untuk tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan karya warisan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Muzium Budaya Borneo yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmuddi Kuching, malam tadi.

Tambahnya, Jabatan Muzium Sarawak merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan ordinan tersebut yang telah diluluskan oleh DUN Sarawak pada 5 November 2019.

“Pemuliharaan bangunan warisan pada asasnya adalah proses berterusan dan bukan aktiviti sekali sahaja kerana ia memerlukan perancangan yang menyeluruh melalui Pelan Pengurusan Pemuliharaan.

“Dengan ini, Limbungan Brooke di Kuching akan dijadikan Muzium Maritim,” ujarnya.

Selaras dengan Seksyen 48, Ordinan Warisan Sarawak, 2019 katanya, bangunan atau tapak warisan yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan hendaklah dipelihara dan dipulihara mengikut melalui Pelan Pengurusan Pemuliharaan.

Suara Sarawak