Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara satu tahun empat bulan, satu sebatan serta denda RM4,000 atas kesalahan menipu syarikat pinjaman wang berlesen dengan menggunakan dokumen palsu.

Amathurizzkhand Amran, 25, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan dua Majistret berasingan iaitu Syarifah Fatimah Azura Wan Ali dan Zubaidah Sharkawi di Mahkamah Majistret di sini, hari ini,

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa menipu pemilik syarikat pemberi pinjaman wang berlesen yang terletak di Jalan Sekama pada 15 Disember 2020 hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM7,150.

Atas kesalahan tersebut, Majistret Syarifah memutuskan tertuduh dijatuhi hukuman penjara satu tahun bermula 7 Mac lepas dan satu sebatan.

Selain itu, dia juga didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 465 Kanun sama kerana menggunakan dua dokumen palsu iaitu slip gaji dan Penyata Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan memohon pinjaman wang tersebut di tempat yang sama.

Majistret Zubaidah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian tertuduh telah memohon membuat pinjaman wang berlesen di syarikat pengadu berjumlah RM7,150 dengan ansuran bayaran balik sebanyak RM468 sebulan dalam tempoh 24 bulan.

Tertuduh juga menambah pinjaman di syarikat terbabit sebanyak RM690 dan berjanji untuk membuat pembayaran balik dalam tempoh satu bulan.

Namun demikian, tertuduh gagal melunaskan hutang itu serta gagal dihubungi oleh pihak syarikat.

Selain itu, pengadu juga mendapati slip gaji dan penyata KWSP yang digunakan tertuduh juga adalah palsu apabila menghubungi syarikat tempat tertuduh bekerja menyatakan bahawa dia tidak lagi bekerja di situ.

Pendakwaan kes dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Suara Sarawak