Gambar hiasan

KUCHING: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1 menjangkau 78 peratus siap setakat Januari tahun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurutnya, beberapa pakej dan seksyen telahpun dibuka untuk pengguna jalan raya termasuk pakej Telok Melano ke Sematan yang telah siap sepenuhnya pada 6 Januari 2019.

“Selain itu, Seksyen Julau bagi pakej kerja 07, persimpangan Bintangor ke persimpangan Julau siap pada 28 Oktober 2021.

“Seksyen Serian bagi pakej kerja 03, bulatan Serian ke Balai Ringin telah siap pada 4 Disember 2021, dan Seksyen Nyabau bagi pakej kerja 10, simpang Nyabau ke Sungai Tangap siap pada 26 Januari 2022,” katanya di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, beberapa daripada projek PLB Fasa 1 turut terjejas akibat pandemik Covid-19, menyebabkan beberapa pakej mengalami kelewatan dan anggaran tarikh siap dijangka melangkaui suku pertama tahun 2023.

Susulan itu, Arthur berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau dan membuat pelbagai pelan mitigrasi termasuk penyelarasan semula jadual pembinaan dan lanjutan masa (EOT).

Tambahnya, langkah proaktif untuk memantau prestasi kemajuan secara berterusan melalui lawatan berkala dan sesi libat urus bersama kontraktor dan perunding yang terlibat juga dilakukan.

“Ini untuk mengenal pasti keberkesanan tindakan mitigrasi dan penambahbaikan yang boleh diambil bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek LPB Sarawak,” katanya.

Mengenai perkembangan PLB Fasa dua, Arthur berkata Kerajaan Pusat telah meluluskan beberapa projek berimpak tinggi termasuk pelaksanaan jajaran Transborneo merangkumi jajaran Fasa 2 LPB Sarawak yang telah dibatalkan oleh kerajaan terdahulu.

Selain itu katanya, Fasa 2 jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang merupakan kesinambungan Fasa 1 SSLR bagi menambah baik jaringan jalan raya dari Miri, Limbang dan Lawas.

Suara Sarawak