RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong masih berahsia dengan gandingan baharunya dalam acara 10 meter (m) platform seirama selepas Datuk Leong Mun Yee mengumumkan persaraan, awal tahun ini.

Pandelela bersama-sama Mun Yee meraih Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan di Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2019/2020 selepas meraih tempat kedua di Kejohanan Dunia Fina Gwanju 2019 dan Siri Terjun Dunia Montreal 2020.

Nama Nur Dhabitah Sabri dan Kimberly Bong dikaitkan sebagai pasangan Pandelela yang baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mun Yee.

Kombinasi Pandelela dan Dhabitah bukanlah sesuatu yang baharu apabila mereka sebelum ini pernah digandingkan dalam acara 10m platform seirama dan berjaya meraih beberapa kejayaan termasuk memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia Fina 2017 di Kanada.

Pandalela 29, mengakui semakin serasi dalam usaha membentuk kombinasi ampuh bersama gandingan baharunya. “Saya menjalani latihan seperti biasa bersama gandingan baharu.

“Namun pasangan yang paling saya hargai dan banyak kenangan ialah Mun Yee. Kalau hendak tahu gandingan baru nanti kena tengok di televisyen,” katanya. Pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik London 2012 serta Rio 2016 itu berkata, ketika ini dia sedang giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi tiga temasya besar tahun ini iaitu Sukan SEA, Komanwel dan Asia. “Setakat ini semua berjalan lancar.

Kami berlatih seperti selalu (sebelum ke temasya) dan akan ke Perak bulan depan untuk kejohanan pemanas badan. “Tiada kejohanan atau persiapan di luar negara kerana sukar untuk kami menjalani kuarantin dan ia boleh menjejaskan prestasi. Jadi lebih baik kami tinggal dan berlatih di Malaysia,” katanya.

Pandelela berkata, dia pernah bergandingan bersama penerjun berkenaan sebelum berhenti seketika untuk kembali berpasangan dengan Mun Yee.

Suara Sarawak