Pasukan Paintball Kidurong (KPK) rangkul dua gelaran
SENGIT…Antara sebahagian aksi pemain.

KUCHING: Pasukan Paintball Kidurong (KPK) berprestasi hebat pada Kejohanan SPL KK Challenge 2022 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, hujung minggu lalu.

Kelab dari Bintulu itu muncul juara Kategori Divison Novice menumpaskan wakil tuan rumah, Splatz Pengayau.

Selain turut meraih gelaran naib juara bagi Kategori Terbuka selepas tewas di tangan pasukan Mambang Di Awan dari Kuala Lumpur.

Pengurus Pasukan KPK, Johnson Lee berkata, para pemainnya meraih satu pengalaman baharu yang sekali gus memberikan kekuatan untuk mereka bersaing lebih jauh selepas ini.

Beliau secara peribadi berpuas hati dengan prestasi hebat dipamer oleh semua pemain sepanjang saingan.

“Pasukan ini dibarisi semua anak jati Sarawak, namun mereka telah berjaya menunjukkan permainan yang begitu hebat sekali,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Pertandingan Mohd. Morshidi Abdullah berkata, kejohanan kali ini merupakan permulaan sukan paintball selepas penularan pendemik Covid-19.

“Kita berharap agar sukan ini terus berkembang dan diminati oleh golongan belia bagi mendidik mereka mementingkan semangat berpasukan dan setia kawan,” katanya.

Untuk rekod, pertandingan ini dianjurkan oleh Kelab Paintball Mambong yang berpangkalan di Padawan, Sarawak.

Sabah dipilih untuk pembukaan Paintball di Borneo kerana merupakan jiran terdekat Sarawak dan sukan Paintball boleh meningkatkan sosioekonomi serta sektor pelancongan menerusi penganjurannya.

Sementara itu, Liga Paintball ini dijadualkan akan berlangsung di Bintulu pada Jun nanti dan diikuti Kuching pada September dan penutupan pada November 2022.

EBAT…Pemain KPK sempat merakam gambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah.

Suara Sarawak