TAHAN…Empat lelaki warga Indonesia ditahan pasukan tentera di kawasan ladang sawit berdekatan pos JPG, Serikin.

BAU: Hasrat empat lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia memasuki negeri ini secara haram untuk mencari pekerjaan digagalkan oleh pasukan keselamatan, hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, kesemuanya ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran pos Jawatankuasa Perancangan Gerakan (JPG) Serikin, di sini.

Katanya, hasil maklumat perisikan, satu seksyen diaturgerakkan bagi membuat rondaan dikawasan yang telah dikenalpasti menjadi laluan Pati masuk ke negara ini secara tidak sah.

“Pasukan petugas semasa melakukan rondaan telah terserempak dengan empat individu dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Kesemua individu tersebut ditahan dan hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang barangan terlarang yang dijumpai selain pakaian persendirian dan barangan peribadi.

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bau dan kesemua Pati telah diusir keluar di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, bermula pada bulan Jan 2022 sehingga kini, Tentera Darat melalui 1 Divisyen yang beroperasi di sempadan Malaysia – Indonesia telah mengusir seramai 65 PATI dalam 27 kes tangkapan dengan nilai rampasan terkumpul berjumlah RM 410,792.06.

USIR…Pati berkenaan diusir oleh pasukan tentera di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Suara Sarawak