NAIB JUARA…Pemain PDRM Kontinjen Sarawak.

KUCHING: Pencapaian cukup hebat dipamerkan PDRM Kontinjen Sarawak meskipun sekadar berpuas hati selaku naib juara Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara 2022.

Ia selepas pasukan itu tewas tipis (2-1) kepada Pulapol Kuala Lumpur pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Shah Alam, Selangor hujung minggu lalu.

Anak-anak buah Kpl. Zaidol Zainal (Ketua Jurulatih) bangkit mengikat kedudukan menerusi gol dijaringkan Muhammad Aufa Syahir Sabaruddin minit ke-22, selepas Pulapol Kuala Lumpur mendahului perlawanan menerusi gol awal minit ke-3 oleh Christoper Keli.

Namun, Ahmad Nizam Mohd. Rodzi meleburkan harapan PDRM Kontinjen Sarawak apabila meledak gol kemenangan Pulapol Kuala Lumpur pada minit ke-88.

Dalam peringkat kumpulan, PDRM Kontinjen Sarawak berjaya mengungguli Kumpulan D setelah mencatat tiga kemenangan, menumpaskan FRU, PDRM Kontinjen Perak dan PDRM Kontinjen Kuala Lumpur dengan kesemua jaringan 1-0.

Selepas itu, pasukan berkenaan tewas tipis (1-0) ketika menentang Komando 69, sebelum berjaya menumpaskan Briged Sabah (2-0) di peringkat suku akhir dan membelasah PDRM Kontinjen Kelantan (4-2) di peringkat separuh akhir.

Suara Sarawak