Pelatih terima elaun RM400

MUKAH: Pelatih baharu Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dari golongan B40 akan menerima elaun bulanan sebanyak RM400 mulai tahun ini.

Pemangku Pengurus PPKS Cawangan Mukah Mohd Syafiq Salman Othman berkata, elaun berkenaan akan diberikan kepada pelajar secara bulanan termasuk bagi pengangkutan, makan minum dan asrama percuma.

“Jadi datanglah mendaftar masuk ke PPKS Mukah untuk anak-anak Sarawak dan rebutlah peluang ini bagi kebaikan mereka.

“Secara amnya PPKS Mukah kini mempunyai kapasiti 200 pelatih dan mempunyai kursus utama itu fesyen dan jahitan pakaian, kursus perladangan serta komputer.

“Kita berharap pengambilan baharu pada Mac ini lebih ramai dapat masuk ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak selepas hadir ke program Majlis Aspirasi Kakitangan Sarawak Skills Mukah di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Katanya, pihaknya akan membuat pengambilan baharu pada Mac ini untuk kursus fesyen dan jahitan kemudian juga pengambilan untuk peladangan.

“Kemudian kita ada juga pengambilan pada bulan Mei untuk komputer sistem, selain pengambilan pada bulan Julai dan November nanti,” ujarnya.

Suara Sarawak