PETINJU SUKMA SARAWAK….Datuk Rahman Lariwoo (duduk kanan sekali) bersama petinju dan barisan jurulatih.

KUCHING: Presiden Tinju Negeri Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo menyifatkan pembabitan petinju skuad Sukma Sarawak pada Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia dan Sukan 2022 di Tambun, Perak ketika ini sebagai landasan terbaik meningkatkan prestasi petinju.

Menurutnya, ia mengambil kira petinju yang turut berdepan lawan dari negeri lain dalam kejohanan itu.

“Sepanjang kejohanan ini berlangsung, petinju berhadapan dengan lawan yang berpengalaman.

“Inilah peluang terbaik untuk petinju meningkatkan prestasi mereka,” ujar Rahman kepada Arena Suara Sarawak.

Tambah beliau, pihaknya turut mempertaruhkan empat petinju terbaik dari skuad Sukma di kejohanan yang bermula pada 21 hingga 28 Mac ini.

Petinju terbabit adalah Daeloniel Mcdelon Bong (Light Weight 60 kg), Jackson Chambai Anak Ikeh (Flyweight 51 kg), Mohd. Helmi Cheng Mohd. Firdaus Cheng (Light Middleweight 71 kg) dan Hillary Anak Hendry (Heavy Weight 92 kg).

“Jadual asal kita untuk menghantar enam petinju, malangnya dua lagi petinju tidak dapat turut serta kerana positif Covid-19,” tambah Rahman.

Apa pun katanya, himpunan empat petinju ini antara yang berpotensi beroleh pingat dalam kejohanan ini.

Suara Sarawak