Pemain industri kecil kembali bernafas

PEMBUKAAN berperingkat-peringkat sektor ekonomi ketika negara sedang menuju ke fasa endemik dilihat memberi nafas baru kepada golongan usahawan terutama peniaga kecil sebelum ini terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Perkembangan positif itu sudah pastinya amat bermakna kepada mereka yang menghadapi kesukaran untuk menjana pendapatan sekali gus mencari nafkah buat keluarga.

Dari sudut lain pula, orang ramai sememangnya tertunggu-tunggu kerana mereka boleh melakukan aktiviti yang dihentikan sebelum ini, seperti mendapat barangan keperluan di pasar tamu yang menyediakan lebih banyak pilihan selain harganya yang lebih terjangkau.

Arahan kerajaan untuk membenarkan pemain industri kecil beroperasi itu adalah langkah terbaik bagi memastikannya dapat dibuka sepenuhnya.

Sebelum ini, lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal atau tidak berdaftar berisiko untuk menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan.

Kaji selidik yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sebelum ini mendapati, majoriti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta usahawan informal daripada pelbagai sektor ekonomi gusar dengan kelangsungan operasi perniagaan mereka.

Dalam pada itu, sebanyak 54 peratus pula, terutama perusahaan mikro menyatakan hanya mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan.

Bagaimanapun inisiatif kerajaan yang menyediakan pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan bagi membantu usahawan terbabit untuk terus bertahan sewajarnya dihargai.

Lantas, melalui bantuan yang disalurkan ramai dalam kalangan mereka berpeluang menyediakan pelbagai keperluan, barangan asas, sewa dan lain-lain lagi sebelum beroperasi dan kembali menjana pendapatan. Pada masa yang sama, kerajaan melalui pelbagai agensinya juga menyediakan pelbagai medium baharu dalam usaha memperkasakan ekonomi golongan berkenaan.

Penganjuran program jualan MyRakyat misalnya disambut baik oleh peniaga kecil kerana bukan sahaja membantu mempromosikan produk tempatan tetapi juga memberi manfaat besar kepada golongan itu.

Kewujudan program MyRakyat anjuran Fama bukan sahaja menjana pendapatan tetapi juga berupaya meningkatkan ekonomi rakyat khususnya golongan petani dan nelayan selain memberi manfaat secara terus kepada pengguna melalui jualan terus dari ladang, jualan terus dari kilang dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, sebanyak RM3.39 juta nilai jualan telah direkodkan menerusi program jualan MyRakyat dengan penyertaan seramai 4,736 usahawan di 146 lokasi seluruh negara bagi tahun 2021.

Bagi tahun 2022, Fama telah menyasarkan sebanyak 152 lokasi penganjuran di seluruh negara dengan nilai jualan RM3.5 juta, sekali gus membuktikan kesungguhan agensi itu membantu meningkatkan ekonomi rakyat.

Dalam pada itu, PKP yang dilaksanakan sebelum ini memberi pengajaran supaya pendekatan tertentu harus dilaksanakan bagi memastikan musibah yang sama tidak berulang, sekali gus pemain industri kecil ini terus bertahan hidup.

Justeru, cadangan meningkatkan infrastruktur digital e-dagang memang ada logiknya kerana meluaskan lagi capaian perniagaan apatah lagi ketika kebergantungan masyarakat terhadap teknologi tanpa sempadan semakin meningkat.

Suara Sarawak