LUNDU: Projek pembinaan Jambatan Rambungan disasarkan siap pada Jun 2024 bagi memudahkan pergerakan pengguna jalan raya menuju ke Kuching-Lundu-Sempadi.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Ir Aidel Lariwoo berkata, jambatan tersebut sepatutnya siap lebih awal, namun berlaku penangguhan disebabkan masalah yang dihadapi pihak kontraktor.

“Setakat ini kemajuan pembinaan jambatan tersebut adalah 19.28 peratus, berbanding 54 peratus yang sepatutnya mengikut jadual asal.

“Sekali gus lewat 35 peratus, menjadikan ia salah satu projek sakit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Pembinaan Jambatan Rambungan, Lundu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menggesa kontraktor untuk menyelesaikan masalah pembinaan tiang (pylon) di tengah sungai secepat mungkin kerana ini menyumbang kepada kelewatan projek tersebut.

“Dua tiang tersebut diperlukan bagi membentuk jambatan jenis kabel kekal yang berukuran 560 meter panjang ini,” katanya.

Tambahnya, kontraktor juga perlu cari cara untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja dan kekurangan bahan binaan yang berlaku bagi mempercepatkan kerja pembinaan tersebut.

Suara Sarawak