GANTUNG: Tertuduh dibawa keluar daripada Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

KUCHING: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang lelaki tempatan kerana membunuh Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong pada Jun 2016.

Panel tiga hakim yang terdiri Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli menolak rayuan yang dikemukakan Mohamad Fitri Pauzi, 35.

Dalam keputusan itu, Nallini menyatakan bahawa mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atas tertuduh.

Beliau juga berkata tiada merit dalam rayuan terbabit.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal di kelab malam didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Miri pada 2018 kerana membunuh seorang aktivis sosial Bill Kayong dengan menembak mangsa di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya di Jalan Miri-Kuala Baram pada 21 Jun 2016.

Rayuan tertuduh juga ditolak di Mahkamah Rayuan pada 18 februari 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Menurut laporan terdahulu, ketika dipanggil untuk membela diri, Fitri gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan kes.

Malah, topeng muka dan sarung senapang yang dikemukakan sebagai barang kes terdapat kesan DNA tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua orang Timbalan Pendakwa Raya iaitu Abdul Ghafar Abdul Latif dan Muhammad Fitri Azmi Masud.

Manakala tertuduh diwakili dua orang peguam Ranbir Singh dan Orlando Chua.

Suara Sarawak