Pemuda didenda miliki dadah seberat 1.71 gram

KUCHING: Seorang pemuda didenda RM4,200 atau penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 1.71 gram.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Evan Jay Tyon, 23, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine semasa berada di Jalan Mambong, Padawan, di sini, sekitar jam 8.45 malam, 28 April 2020.

Menurut fakta kes, semasa berada di tepi Jalan Mambong sepasukan polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam memiliki dadah.

Hasil pemeriksaan, tertuduh menyerahkan sendiri sebuah beg kecil yang berisi sekeping plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu, sepapan pil yang disyaki eramin, seunit alat penimbang kecil, sebilah gunting, sekeping jarum kecil, sebatang straw kecil dan enam keping plastik kecil.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak