Pemuda didenda RM10,000 kerana mengendalikan mesin judi

KUCHING: Lelaki berusia 32 tahun dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mengendalikan mesin judi dalam talian.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Batin Abdullah,32, yang berasal dari Kampung Bintawa Hilir selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut Pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 4B(a) Akta judi Rumah Terbuka 1953, kerana didapati mengendalikan mesin judi di sebuah rumah di Kampung Panglima Seman.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap mesin judi dan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching telah membuat satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Panglima Seman sekitar jam 4.00 petang, 27 Februari lepas.

Hasil serbuan, berjaya menahan seorang lelaki yang duduk di dalam pondok sedang mengendalikan mesin judi atas talian.

Pihak polis telah merampas sebuah telefon pintar jenama Huawei dan sembilan keping wang tunai berjumlah RM85.00.

Hasil siasatan mendapati laporan pakar judi mengesahkan bahawa barang kes yang dirampas ialah sebuah mesin judi dan tertuduh telah menjalankan urusan judi dalam talian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak