KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM5,600 atau enam bulan penjara kerana memasukkan dadah ke dalam badan dan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.09 gram.

Majistret Zubaidah Sharkawi juga menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Enmund Katong Pancras, 39, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapannya di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 12 (3) akta yang sama kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.09 gram pada, 8 Mac 2021.

Untuk pertuduhan itu, dia dijatuhi hukuman denda RM2,800 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa telah memasukkan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya di sebuah rumah di Skim Penempatan Baru, Jalan Batu Kawa, sekitar jam 12.46 petang, 20 Jun 2018.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta yang sama, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan tersebut, dia dijatuhi hukuman denda RM2,800 atau tiga bulan penjara.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dua tahun dalam pengawasan polis selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjaran untuk pertuduhan di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak