Pengantin baharu dapat RM500

SIBU: Sempena pembukaan Pusat Khidmat N.54 Pelawan, dua inisiatif telah diperkenal iaitu pemberian ‘angpau’ kepada pasangan yang baru berkahwin dan ibu yang baru melahirkan anak.

Adun Pelawan Michael Tiang Ming Tee ketika ditemui media selepas menyaksikan upacara menggantung papan tanda pusat khidmatnya yang terletak di Sungai Merah di sini semalam berkata, SUPP Cawangan Pelawan melalui pusat khidmatnya itu menawarkan insentif kepada pasangan yang baru berkahwin dengan pemberian ‘angpau’ sebanyak RM500, manakala ibu yang baru melahirkan anaknya diberikan RM300.

“Dua insentif tersebut adalah sempena pembukaan pusat khidmat saya yang terletak di Lorong Sungai Merah 2F.

“Bagi insentif pasangan atau pengantin baharu, ia akan diberikan jika salah seorang pasangannya adalah pengundi di Dun Pelawan,” jelas beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II.

Beliau berkata, insentif itu adalah untuk membantu pengantin baharu dari segi kewangan untuk melangsungkan perkahwinan mereka atau kegunaan lain sebagai permulaan melangkah ke alam perkahwinan.

“Kami faham bahawa pengantin baharu menghadapi cabaran kewangan. Itulah sebabnya Kerajaan Negeri baru-baru ini melancarkan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) bagi membantu golongan muda membeli rumah pertama mereka,” kata Setiausaha SUPP Cawangan Pelawan itu.

Bagi insentif bayi yang baru dilahirkan, Tiang berkata, syaratnya adalah salah seorang ibu atau bapa mesti pengundi dari Dun Pelawan bagi layak untuknya.

Beliau menjelaskan usaha itu adalah untuk membantu golongan muda khususnya ibu muda seperti Kementerian Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Kesejahteraan Komuniti yang memperuntukkan insentif sebanyak RM450 untuk setiap ibu yang hamil.

“Kedua-dua insentif itu boleh dipohon melalui borang di google yang akan kami sediakan dan maklumkan kelak, atau mengunjungi pusat khidmat kami.

Kelayakan dikira bermula dari 1 Januari 2022 sahaja dan seterusnya,” kata Tiang yang merupakan Ketua Pemuda SUPP pusat.

Bercakap mengenai pembukaan pusat khidmat baharunya itu, Tiang memberitahu, keenam-enam kapitan di kawasannya akan ditempatkan bergilir-gilir di pusat khidmat itu untuk menghulurkan bantuan.

Menurutnya lagi, pusat khidmatnya akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang dari Isnin hingga Jumaat dan jam 8 pagi hingga jam 12 tengah hari pada hari Sabtu.

“Pusat khidmat saya akan ditutup pada setiap hari Ahad dan pada cuti umum.

Namun, orang ramai masih boleh menggunakan khidmat kami dengan menghubungi kami di platform media sosial kami yang akan saya maklumkan kemudian melalui laman sosial saya,” ujar beliau.

Hadir sama pada upacara tersebut ialah Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek dan Pengerusi SUPP Cawangan Pelawan Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.

Suara Sarawak