Sekumpulan penghantar makanan mengiringi van jenazah Yuhanis ke tanah perkuburan – Foto: Tangkap layar sesi langsung Facebook Sarawak Edition

KUCHING: Semangat setiakawan sekumpulan penghantar makanan terbukti apabila sanggup mengetepikan kerja buat seketika demi membantu urusan pengebumian rakan seperjuangan, arwah Yuhanis Abdullah, 20, yang maut akibat kemalangan kendiri di Jalan Semariang, semalam.

Menerusi sesi siarang langsung yang dikongsi Facebook Sarawak Edition hari ini, kelihatan ratusan penghantar makanan, Grabfood dan Foodpanda memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

Mereka mula berkumpul di Masjid Darul Ibadah Kampung Samariang Lama dan kemudian mengiringi penghantaran jenazah untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Samariang.

Perkongsian itu mendapat perhatian warganet yang rata-rata memuji kumpulan penghantar makanan berkenaan.

Menurut laporan terdahulu, Yuhanis atau Anis, mula bekerja sebagai penghantar makanan sejak Ogos tahun lalu demi mencari pendapatan bagi menyara keluarga.

Beliau merupakan tulang belakang keluarga untuk membantu ibunya yang sakit, serta menjaga adik perempuannya yang baru tamat menduduki ujian SPM.

Semalam, arwah telah terlibat dalam kemalangan kendiri sekitar jam 11.35 pagi ketika menunggang motosikal seorang diri di Jalan Sultan Tengah menghala ke Bulatan Semariang.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yan ditunggang arwah hilang kawalan menyebabkan dirinya terbabas lalu melanggar tiang lampu.

Suara Sarawak