Penjawat awam miliki dadah, dipenjara tujuh bulan

KUCHING: Seorang penjawat awam dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.67 gram.

Tertuduh Sarbini, 49, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mahkamah memutuskan tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, menjalani hukuman bermula 26 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, dia memiliki bahan terlarang itu di sebuah rumah di Kampung Sri Kandong, Matang, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 1 Julai 2020.

Menurut fakta kes, pada tarikh tersebut sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan telah menangkap seorang lelaki yang dipercayai memiliki dadah.

Hasil pemeriksaan, menjumpai 11 keratan tiub straw yang mengandungi ketulan kristal di dalam sebuah kotak berwarna coklat kelabu.

Semasa dalam tempoh siasatan, barang kes telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan mengesahkan berat bersih bahan tersebut dadah jenis Methamphetamine seberat 0.67 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak