Tangkap layar pada video yang tular memaparkan kekecohan salah satu perlawanan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Ali Biju, 11 Mac lalu.

SARATOK: Penolong pengurus pasukan Debak FC dilarang daripada menghadiri perlawanan seterusnya membabitkan pasukannya dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Ali Biju.

Ia selepas dia didapati mencetuskan pergaduhan dalam perlawanan antara pasukannya dengan Jingga FC pada 11 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mordani Tanin, tindakan itu diambil oleh pihak penganjur.

“Pihak polis mengambil maklum satu video berdurasi 35 saat yang dimuat naik dalam laman portal berita yang memaparkan situasi kecoh orang ramai ketika menyaksikan perlawanan bola sepak.

“Hasil siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan kecil antara penyokong pasukan Jingga FC dengan penolong pengurus pasukan Debak FC.

“Ia ekoran rasa tidak berpuas hati selepas penolong pengurus Debak FC melemparkan perkataan kurang enak sehingga didengar pemain Jingga FC, yang akhirnya mencetuskan insiden tolak-menolak di dalam padang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, polis juga telah mengambil tindakan dengan memanggil pihak penganjur dan menasihati agar tidak mengulangi insiden yang sama.

Sehingga hari ini, Mordani berkata tiada sebarang laporan polis dibuat oleh kedua-dua pihak.

Beliau mengingatkan agar masyarakat tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Suara Sarawak