Peraduan video pendek tawar habuan RM21,500

KUCHING: Hadiah wang tunai bernilai RM21,500 berpeluang dimenangi oleh peserta sempena peraduan video pendek pelancongan yang bertajuk Menyingkap Bumi Kenyalang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS).

ACCCIS menerusi satu kenyataan media berkata, ia merupakan anjuran pihaknya bersama Sin Chew Daily sebagai rakan media yang ditetapkan untuk mempromosikan destinasi pelancongan kegemaran ramai.

“Dalam konteks yang lebih luas, tujuan peraduan ini adalah untuk merancakkan pemulihan dan pembangunan industri pelancongan di Sarawak.

“Malah, penyertaan pemenang akan digunakan sebagai medium publisiti untuk memperkenal tarikan pelancong yang terkenal dan belum ditemui, tapak bersejarah serta makanan tempatan di Sarawak,” katanya, semalam.

Tambahnya, ia turut diadakan bagi menggalakkan rakyat Sarawak memainkan peranan dalam mempromosikan industri pelancongan tempatan melalui video pendek mereka.

“Justeru, peserta pembuat video tempatan, YouTuber dan pelajar amat dialu-alukan untuk menyertai peraduan ini,” ujarnya.

Bahkan, jelasnya peraduan tersebut menawarkan RM10,000 untuk hadiah pertama, RM6,000 untuk hadiah kedua, RM3,000 bagi hadiah ketiga dan lima hadiah sagu hati RM500 setiap satu.

“Semua penyerahan mesti dimuat naik ke pautan borang Google yang disediakan oleh penganjur sebelum 4 petang 30 Jun tahun ini,” tambahnya.

ACCCIS turut menjelaskan bahawa resolusi piksel terbaik untuk entri video ialah 1920×1080 dalam format MP4 aspek landskap 16:3 dan tempoh klip video hendaklah sekurang-kurangnya 3 minit, tetapi tidak melebihi 1GB saiz fail video.

“Pemenang akan dimaklumkan oleh pihak penganjur. Maklumat lanjut mengenai peraduan video termasuk terma dan syarat boleh didapati di laman web rasmi kami (http://www.acccis. org.my.),” katanya ACCCIS

Suara Sarawak