KUCHING: Anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat dan negara selari dengan cogan kata ‘Perkhidmatan Diterima dan Dirasai’.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata peranan polis ketika peralihan fasa endemik tetap sama seperti agensi penguat kuasa yang lain bagi memastikan usaha Kerajaan Negeri untuk membendung penularan wabak tercapai.

 

“Kita akan melaksanakan serta menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ada agar penularan dalam kalangan masyarakat dapat digembleng sebaik mungkin. “Bagi skop yang lebih luas, kita akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada sasaran agar mereka menerima perkhidmatan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Sambutan Perin

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah ketika ditemui wartawan, hari ini

gatan Hari Polis ke-215, di padang kawad IPD Kuching, di sini, pada Jumaat.

Ahsmon juga menyampaikan amanat kepada semua pegawai polis yang hadir ketika acara tersebut dijalankan. Katanya, berteraskan tema ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’, para anggota sentiasa bersedia berkhidmat untuk memikul tanggungjawab dan amanah demi keamanan masyarakat dan negara.

Justeru jelasnya, perjuangan perlu diteruskan agar dapat diturunkan kepada pelapis Sang Saka Biru untuk berkhidmat kepada negeri pada masa akan datang.

Dalam pada itu, seramai 25 orang pegawai turut diberikan sijil penghargaan atas jasa bakti mereka terhadap tugas yang diamanahkan sempena sambutan hari polis, semalam.

Penyampaian tanda penghargaan kepada lima orang bekas pegawai (pesara) turut diberikan bagi menghargai perjuangan mereka setelah sekian lama berkhidmat untuk negara. Sambutan turut diserikan dengan perbarisan daripada anggota Kawalan Hormat yang terdiri daripada 48 orang anggota pangkat rendah diketuai ASP Mohamad Qafie Taib sepanjang acara dijalankan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa.

Suara Sarawak