KUCHING: Pengurus Besar Centexs Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri menyeru usahawan tempatan untuk tampil memperkenalkan produk warisan jualan mereka sempena jalinan kerjasama dengan Syarikat Keusahawanan Sosial Jeiwa Global Resources.

Menurutnya, jalinan kerjasama ini bukan sahaja dapat membantu pemasaran produk tempatan, malah merupakan satu inisiatif untuk mengekalkan produk warisan Sarawak.

“Sejajar dengan penubuhan Centexs Commercial yang menjadi sebuah syarikat berkaitan kerajaan, kita bukan sahaja tampil untuk membantu alumni Centexs malah komuniti tempatan yang menjalankan perniagaan.

“Peranan kita di sini adalah untuk membantu komersialkan produk tempatan menerusi platform ini terutamanya produk warisan seperti makanan, pakaian dan produk berkaitan dengan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Promosi Produk Terbaharu Warisan Sarawak di Galeri Songket dan Keringkam Sarawak, Jalan Masjid di sini.

Menurut Shahren, pihaknya juga kini menumpukan pengeluaran produk kuih-muih tradisional serta menyediakan bungkusan berasaskan warisan Sarawak untuk diperkenalkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia.

Centext turut menjalinkan kerjasama dengan Tiffin Jeiwa yang merupakan pengeluar produk mangkuk tingkat (kaleng) sebagai bekas menyimpan makanan termasuk kuih-muih.

“Konsep pengeluaran mangkuk tingkat oleh Tiffin Jeiwa ini juga adalah bersesuaian dengan matlamat memelihara alam sekitar yang bukan sahaja selamat untuk diguna, malah dapat dipakai berulang-ulang oleh pelanggan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Tiffin Jeiwa, Ina Fadilah Nizar berkata pihaknya melakukan beberapa inisiatif lain termasuk membuat rekaan kaleng dengan motif dan lambang tradisi Sarawak bagi mengekalkan warisan negeri ini.

“Bertepatan dengan lokasi perniagaan Tiffin Jeiwa yang terletak di Johor, ini merupakan satu peluang besar untuk kami memasarkan produk Sarawak hingga ke luar negara seperti Singapura memandangkan sempadan dibuka tidak lama lagi.

“Kami juga mengalu-alukan usahawan dari Sarawak untuk mengetengahkan produk mereka untuk dipasarkan menerusi syarikat kami,” katanya lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa syarikatnya juga tampil dengan beberapa produk Sarawak yang lain menerusi slot Edisi Sarawak pada masa akan datang.

Ina turut merakamkan penghargaan kepada pihak Centexs Commersial atas kerjasamanya untuk memasarkan produk kaleng di Sarawak.

Setakat ini, Centexs Commersial bekerjasama dengan 11 pengeluar kuih tempatan yang dipasarkan melalui platform yang ditawarkan. Peniaga tempatan termasuk pengusaha kuih tradisional di negeri ini turut digalakkan untuk tampil mengetengahkan produk mereka ke Centexs Commercial agar dibantu mengikut keperluan masing-masing.

Suara Sarawak