Perlu bina pos kawalan sempadan di Kampung Mongkos

SERIAN: Sebuah pos kawalan sempadan perlu dibina di Kampung Mongkos, di sini untuk membendung sebarang aktiviti penyeludupan termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati).

Adun Kedup Martin Ben berkata, aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya kemasukan Pati kian meningkat berikutan penutupan sempadan negara disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Rentetan itu, katanya, Pati menggunakan jalan tikus untuk memasuki negara sekali gus mendatangkan ancaman kepada penduduk di sekitar.

“Pos kawalan (Bunan Gega) sudah sedia ada tetapi jaraknya agak jauh dan waktu responnya mungkin agak lama sekiranya penduduk kampung membuat aduan.

“Oleh itu, saya cadangkan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencadangkan kepada kerajaan untuk membina sebuah pos tetap di Kampung Mongkos atau kawasan yang lebih dekat dengan sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Intu Sempadan di rumah panjang Kampung Mongkos, di sini hari ini.

Justeru beliau berharap lebih banyak pos kawalan sempadan di bina di sini oleh Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Keselamatan Negeri MKN Sarawak Syukri Sanali berkata, cadangan tersebut akan dibawa kepada kerajaan.

Beliau yang senada dengan Martin mengenai pos kawalan sedia ada berada jauh dari garis sempadan dan ia menyukar waktu respon pasukan keselamatan.

Suara Sarawak