MUKAH: Sebagai persediaan untuk memasuki alam pekerjaan dalam industri pembinaan, seramai 31 pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Mukah (PMU) menyertai Projek Memasukkan Data dan Pengenalan Kepada Microsoft di PMU.

Pengarah Program, Masalinda Mansor berkata program selama dua hari itu merupakan usaha dan inisiatif para pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam PMU.

“Program ini merupakan satu nilai tambah kepada para pelajar dalam memahami perisian berkaitan dengan perancangan dan penjadualan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti penting dalam industri pembinaan.

“Dengan adanya program seperti ini, pelajar mampu berfikiran kreatif dalam penyelesaian masalah,” katanya.

Maslinda berkata, ia merupakan satu kemahiran pembelajaran sepanjang hayat yang sangat bermanfaat buat pelajar yang menyertai program tersebut.

“Sekiranya bakat pelajar dapat diasah dan mampu memupuk minat mereka dalam bidang ini, sudah tentu mereka mampu menjana pendapatan lumayan apabila mula bekerja nanti,” ujarnya.

Program itu turut mendapat sokongan penuh daripada Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, Mohammad Fadzli Jawawi dan Ketua Program Diploma Kejuruteraan Awam, Nik Nur Dina Nik Azmi, Azmi Ladi, Siti Zuraifa Md Sah dan Nancy Alexander.

PELAJAR menghadiri Projek Memasukkan Data dan Pengenalan Kepada Microsoft di Politeknik Mukah pada Rabu.

Suara Sarawak