KUCHING: Persidangan Agung UMNO yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada minggu depan dijangka menjadi menentu kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata penganalisis politik Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

“Gambaran tentang garis masa untuk PRU-15 mungkin akan kelihatan di akhir perhimpunan ini,” katanya yang dihubungi, semalam.

Sementara mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau menyifatkan ia sebagai kesinambungan daripada apa yang berlaku ketika PRN-12 Sarawak.

Katanya ia apabila rakyat memperlihatkan keinginan untuk memperoleh kerajaan yang lebih stabil melangkaui daripada sentimen politik identiti.

“Malah MCA juga mengikut keupayaan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk menukar kerusi yang sebelum ini dipegang oleh DAP sewaktu PRU-14 kepada milik mereka.

“Ini memperlihatkan sentimen kestabilan ekonomi juga berjaya untuk menembusi komuniti masyarakat Cina, malah mereka juga sedar perlunya ada satu perikatan yang kukuh untuk mewakili suara mereka di peringkat kerajaan,” katanya.

Selain itu, Ammar yang juga pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata antara yang menarik untuk diperhatikan adalah berlakunya pecahan undi dalam kalangan parti politik terutama politik Melayu.

Beliau menyifatkan situasi itu juga hampir sama dengan keadaan politik di Sarawak, apabila kewujudan calon dan parti politik tempatan memecahkan undi terutama dalam kalangan komuniti Dayak Sarawak, lebih-lebih lagi dalam kalangan komuniti Iban.

“Jika trend ini berterusan, nescaya perikatan yang lebih stabil akan mendominasi undi rakyat sewaktu PRU-15 yang akan datang.

“Apatah lagi naratif kestabilan mendapat tempat dalam kalangan hati pengundi, ditambah dengan pecahan undi terutama dalam komuniti Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perikatan pembangkang perlu kembali ke meja bulat dan melakukan perbincangan bersama mereka.

Katanya rakyat telah menunjukkan bahawa mereka memilih perikatan yang lebih kukuh dan buat masa sekarang, pilihan yang ada adalah pada Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ammar menambah selain naratif kestabilan, apa yang menarik untuk diperhatikan pada PRN Johor adalah jurang antara kawasan bandar dan luar bandar, termasuk undi anak muda terutama dalam kelompok Undi18.

“Bagi kawasan luar bandar dan semi-bandar, mereka masih tertarik dengan naratif kestabilan.

“Manakala, kawasan bandar tetap kekal dengan naratif politik baru terutamanya apabila kem pembangkang mempunyai parti dan calon-calon yang lebih muda,” katanya.

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

Suara Sarawak