KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan beberapa tindakan termasuk mengadakan konvensyen dan pemukiman pimpinan parti itu untuk menggilap semula idealisme perjuangan dan penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Majlis Presiden PH dalam kenyataan menyebut, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lepas, parti itu akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada dengan segera terutama mengatur semula strategi bagi menghadapi PRU15.

Majlis Presiden PH mengakui kelemahan antaranya melibatkan isu pertandingan pelbagai penjuru parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah serta aspek penerangan dan komunikasi PH berhubung isu-isu semasa yang menyebabkan gabungan itu hanya memenangi 12 kerusi.

“Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu memaklumkan PH juga akan berusaha membina kerjasama dalam kalangan parti pembangkang agar dapat bersama menolak Barisan Nasional (BN).

“Parti-parti pembangkang tidak harus bertanding hanya di kawasan PH yang akan mengurangkan undi gabungan berkenaan sekali gus secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan BN,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PH bertekad menetapkan dasar-dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik COVID-19 serta mahu Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen dengan pimpinan utama PH akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat. — BERNAMA


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak