KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak United FC (SU FC), B. Sathianathan mengesa pemainnya untuk melupakan episod suram kekalahan besar (6-0) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Rabu lepas.

Sebaliknya, kembali menghala fokus kepada saingan dalam kempen Piala FA 2022.

Dengan aksi pembuka tirai untuk satu lagi piala berprestij badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Ahad ini, yang menyaksikan SU FC akan turun menentang pasukan berstatus kelab dari Liga M3 iaitu Ultimate FC di Stadium Negeri, Petra Jaya.

“Inilah peluang pemain memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kembali keyakinan diri.

“Saya mengingatkan pemain agar melupakan episod suram yang dialui beberapa hari lepas,” ujar Sathianathan kepada Arena Suara Sarawak.

Tegas Sathianathan, sememangnya kemenangan menjadi sasaran mereka untuk perlawanan itu nanti untuk layak ke pusingan seterusnya.

“Dengan kata lain, kelebihan beraksi digelanggang sendiri harus dipergunakan dengan sebaik mungkin,” tambah Sathianatan lagi.

Dalam pada itu, sedikit kelegaan bagi Sathianathan dalam menyediakan barisan kesebelasan terbaik untuk perlawanan Ahad nanti berikutan kehadiran semula beberapa pemain tonggak.

“Pemain utama yang terlepas aksi menentang JDT beberapa hari lepas akan diturunkan dan diharap ia akan menambah tonik di posisi tertentu,” jelas beliau lagi.

B. SATHIANATHAN …Ketua jurulatih SU FC.

Suara Sarawak