Piala FA 2022: SU FC tetap berwaspada

KUCHING: Sarawak United FC (SU FC) akan tetap berwaspada tatkala turun melayani pasukan berstatus kelab dari Liga M3, Ultimate FC pada saingan Piala FA 2022 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok.

Ketua jurulatih SU FC B. Sathianathan mengakui, beliau tidak melihat kelebihan yang ada pada pasukannya bermain di halaman sendiri untuk meraih kemenangan mudah, sekali gus mara ke pusingan seterusnya.

“Kami tetap berwaspada, walaupun pasukan lawan antara pendatang baharu dalam kancah Liga Malaysia.

“Keadaan sebaliknya boleh berlaku andai kata pasukan lawan beraksi pada tahap terbaik,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan itu, beliau akan menurunkan barisan kesebelasan terbaik untuk memastikan SU FC beroleh kemenangan.

Dalam pada itu, Sathianathan memberitahu, berlaku sedikit perubahan malam esok.

“Beberapa tonggak utama sudah boleh bermain dan saya akan melakukan perubahan kecil membabitkan beberapa posisi,” tambah beliau lagi.
ENDS/…

Suara Sarawak