BUAT BETUL-BETUL…Safri Amit (kanan) memantau sesi latihan pemainnya. – FOTO GHAZALI BUJANG

KUCHING: Sarawak United FC II (SU FC II) akan menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sarawak, Petra Jaya petang esok.

Ia sekali gus bermula kembali fokus pencarian tiga mata penting buat barisan kendalian jurulatih berpengalaman, Safri Amit.

Pada masa sama, cuba mengekal kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan C dengan masih kekal rekod tanpa kalah dan mengumpul 7 mata selepas mengharungi tiga perlawanan sebelum ini.

“Tiga mata sememangnya manjadi fokus utama kita dan saya percaya ia bukan satu tugas mudah untuk diperoleh kerana yakin pasukan lawan akan memberi tentangan sengit sepanjang saingan.

“Namun, ia tidak mustahil untuk direalisasikan oleh pemain dengan syarat mereka dapat memperaga aksi terbaik selain mengadaptasi strategi yang akan diguna pakai,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Safri, kesempatan beraksi di laman sendiri harus dimanfaatkan sebaiknya untuk meraih kemenangan.

Beliau menambah perlawanan itu turut menyaksikan perubahan membabitkan beberapa strategi bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Dalam pada itu, beliau akui akan menurunkan barisan kesebelasan utama terbaik untuk menghadapi pertembungan dengan skuad pelapis warga kota itu.

Suara Sarawak