Empat Kiri: Pengasas YAST Esther Law Lee Poh; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif YASTech Cheryl Toh bersama yang lain merakamkan gambar kenangan.

KUCHING: Platform phygital (fizikal dan digital) yang dilancarkan oleh kumpulan YastArt diyakini dapat membawa manfaat kepada pembangunan industri seni dan budaya di Sarawak, kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata ia juga dapat menjaga golongan yang kurang bernasib baik melalui platform tersebut.

“Sarawak telah dikurniakan warisan budaya yang kaya dengan mempunyai komuniti kreatif dalam dunia seni. Banyak usahawan dan artis muda yang sedia ada dalam kalangan masyarakat setempat.

“Justeru, platform sedemikian bermanfaat kerana dapat berpeluang menonjolkan karya seni sendiri, mencipta pekerjaan yan baik dalam indsutri kreatif, malah turut serta dalam trend sebagai pencipta (creator) melalui teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Rasmi Pelancaran YASart di Ground Floor dan Tingkat 1, Bangunan Gateway, di sini, hari ini.

Tambahnya, ini adalah masa yang tepat untuk mewujudkan platform sedemikian agar kumpulan yang tidak bernasib baik mempunyai peluang untuk bertahan menyara kehidupan mereka terutama setelah dilanda pandemik sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, platform yang dilancarkan oleh YASart merupakan tindakan yang dipuji kerana ia bukan sahaja untuk kepentingan sendiri, malah bertujuan untuk maju bersama sebagai sebuah komuniti ke arah masa depan yang lebih sejahtera.

Suara Sarawak