Kehadiran pelajar-pelajar baharu PKS pada Majlis Penutupan Program Minggu Suai Kenal.

KUCHING: Seramai 510 pelajar baharu mendaftar di Politeknik Kuching Sarawak (PKS) bagi sesi pengajian tahun 2021/2022 yang akan bermula pada Isnin depan.

Pengarah PKS Hikmatullah Hajid Ahmad Khan berkata, daripada jumlah tersebut 70 peratus adalah dari Sarawak manakala selebihnya dari Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sabah.

“Bagaimanapun, PKS masih menerima permohonan pelajar yang hendak menyambung pengajian di sini, sekali gus cuba untuk mencapai sasaran sekitar 800 lebih pelajar baharu berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Program Minggu Suai Kenal Sesi Ke-2: 2021/2022 di Dewan Jubli Perak, PKS, hari ini.

“Peluang melangkah ke menara gading perlu direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya kerana tidak semua orang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Tambah Hikmatullah, pengajian di PKS ini akan membuka peluang serta menjadi satu langkah permulaan untuk para pelajar mencapai kejayaan demi masa depan yang lebih cemerlang.

Hikmatullah berucap pada Majlis Penutupan Program Minggu Suai Kenal Sesi Ke-2 Politeknik Kuching Sarawak (PKS) di sini, hari ini.

Suara Sarawak