KUCHING: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor amat bermakna kepada BN sendiri dan rakyat Johor keseluruhannya, lebih-lebih lagi dalam negara menuju fasa peralihan ke endemik, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagi BN, kemenangan 40 kerusi bermakna mereka memperoleh majoriti lebih dua pertiga.

Alexander Nanta

Katanya ia sekali gus berjaya mencapai objektif utama yang disasarkan sebelum ini iaitu membentuk Kerajaan Negeri baharu yang kukuh, stabil dan kondusif.

“Ini penting dalam merancang arah tuju pembangunan dan pengurusan negeri terutama dalam meluluskan usul-usul penting di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala bagi rakyat Johor, Alexander berkata mereka kini boleh mengharapkan urusan pentadbiran yang lebih lancar dan mantap oleh Kerajaan Negeri, demi kesejahteraan hidup dan pemulihan semula ekonomi seiring negara menuju ke arah pasca-Covid-19.

Justeru, beliau berharap semua ahli politik selepas ini dapat memberi tumpuan terhadap segala usaha untuk membangunkan Johor serta memulihkan ekonomi negeri dan negara, yang akhirnya akan meringankan beban rakyat.

Selain itu, katanya ahli politik pembangkang juga diharap dapat memainkan peranan semak dan imbang, seterusnya bersama-sama menggalas tanggungjawab mensejahterakan rakyat dan negara.

“Apapun, rakyat Johor sudah membuat pilihan dan semua pihak perlulah menghormati pilihan mereka.

“Marilah kita sama-sama mengenepikan perbezaan dan memberi tumpuan terhadap perkara yang lebih utama iaitu rakyat dan negara,” katanya.

Suara Sarawak