Remaja didenda, terlibat judi dalam talian

KUCHING: Seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman denda RM500 atau penjara satu bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Majistret di sini, kerana terlibat dengan judi dalam talian.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 19 tahun selepas menerima laporan akhlak, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengendalikan mesin judi dengan menggunakan sebuah telefon pintar jenama Redmi di sebuah pasar raya mini di Jalan Batu Kawa, sekitar jam 12.50 petang, 22 Januari lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa operasi Op Dadu, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki di sebuah pasar raya mini kerana dipercayai terlibat dengan judi atas talian.

Hasil pemeriksaan terhadap tertuduh, menjumpai sebuah telefon pintar dan yang disyaki mengandungi unsur-unsur kegiatan tambah nilai judi dalam talian.

Barang kes seperti telefon pintar jenama Redmi dan sejumlah wang tunai RM140 turut dirampas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak