KUCHING: Seorang remaja lelaki dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun, atas kesalahan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, Disember tahun lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi turut mengenakan jaminan RM2,000 kepada ibu sebagai penjamin setelah tertuduh berusia 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali serta perlu menjalani ujian saringan air kencing.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengambil dadah dalam kumpulan ganja iaitu 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) semasa berada di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 1.20 pagi, 12 Disember 2021.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) Akta yang sama.

Berdasarkan fakta kes, semasa berada di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, seorang remaja lelaki telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Hasil ujian saringan awal air kencing tertuduh mendapati dia positif dadah jenis THC.

Selain itu, ujian saringan air kencing turut dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan bahawa tertuduh positif dadah jenis THC.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak