Rompak: tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

 

KUCHING: Seorang remaja lelaki dihadap ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak sebuah telefon pintar, wang tunai berjumlah RM450 dan seutas jam tangan milik seorang remaja perempuan pada Februari lalu.

Tertuduh berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah rumah di Kampung Sungai Midin, Semerah Padi, sekitar jam 3.30 pagi pada 2 Februari lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menyatakan tiada jaminan ditawarkan bagi mengelakkan tertuduh melakukan kesalahan berulang terhadap mangsa serta mengelak daripada melarikan diri.

Kemudian, tertuduh memohon agar diikat jamin kerana perlu membantu bapanya membuat kerja-kerja kontrak bagi menampung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 beserta seorang penjamin tempatan iaitu bapanya.

Mahkamah memutuskan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 5 April depan, dan tertuduh diperintahkan untuk mengambil peguambela sebelum tarikh tersebut.

Suara Sarawak