BETONG: Seorang suami yang menghidap sakit kanser mendapat perhatian daripada Skuad Keluarga Malaysia (SKM) Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong (PSKB) dan Skuad Prihatin Saribas.

Difahamkan, Razalie dari Kampung Buda kini menanggung kos perubatan sebanyak RM300 sebulan untuk menyewa alat bantu oksigen.

Sehubungan itu, Penyelaras Komuniti Sukarela Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Betong, Razemah Azool menyampaikan Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 kepada isteri beliau.

“Bantuan TBS ini bertujuan meringankan beban keluarga tersebut sebelum bantuan lain dapat disalurkan.

“Semoga dengan adanya TBS ini, lebih ramai pihak bersama-sama menghulur sedikit sebanyak bantuan,” katanya pada program itu di Kampung Buda, kelmarin.

Jelasnya, Razalie turut diberikan bantuan bakul makanan yang disumbangkan oleh Skuad Prihatin Saribas.

Razemah berharap program penyaluran bantuan kepada mana-mana individu memerlukan dapat dipergiat dengan adanya sokongan pimpinan akar umbi dan pertubuhan bukan kerajaan seperti skuad prihatin di Dun masing-masing.

Suara Sarawak