Robert Lawson minta Kerajaan Persekutuan naik taraf Hospital Betong
Datuk Robert Lawson Chuat

BETONG: Menjangkau usia 31 tahun, Kerajaan Persekutuan dimohon untuk menaik taraf Hospital Betong sesuai peranannya sebagai pusat perubatan yang merangkumi kawasan Skrang dan Lubok Antu.

Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat memberitahu, sejak dibuka pada 1991 sehingga kini, hospital terbabit tidak pernah diubah suai.

“Dengan populasi penduduk yang semakin bertambah iaitu kira-kira 125,000 orang, sudah tentu memerlukan penambahbaikan kemudahan.

“Antara yang perlu diberikan perhatian adalah naik taraf dari segi bangunan dan wad baharu seperti bangunan baharu Unit Hemodialisis dan penambahan mesin Hemodialisis.

“Selain menaik taraf kediaman kakitangan dan menambah tempat letak kereta untuk pesakit,” katanya dalam ucapan menyokong usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Malah jelasnya, dalam menangani wabak Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik, Makmal Biomolekul juga wajar ditubuhkan di Betong.

Suara Sarawak