HEBAT…Barisan atlet Sarawak bersama jurulatih olahraga, Noraseela Mohd. Khalid (tengah).

KUCHING: Barisan atlet Sarawak mempamerkan prestasi hebat dengan meraih 11 pingat pada Kejohanan Olahraga Perak All Comers I 2022 yang berlangsung hujung minggu lalu.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari (26 dan 27 Februari) itu menyaksikan barisan atlet memperoleh enam pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa.

Pingat emas disumbangkan Jackie Wong menerusi acara tukul besi lelaki dengan balingan 65.37 meter, sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.

Manakala Grace Wong Xiu Mei turut memperoleh pingat emas menerusi acara tukul besi wanita dengan jarak balingan 61.14 meter dan merupakan catatan rekod baharu kejohanan.

DAPAT EMAS..Brandon Ting Li King.

Turut menyumbang pingat emas ialah jaguh pecut, Jonathan Nyipa dalam acara 200 meter (21.49s), Queenie Ting Kung Ni dalam acara lempar cakera wanita dengan jarak lemparan 47.37 meter sekali gus merupakan rekod baharu kejohanan.

Mohd. Rizzua Haizad melaui acara 110 meter lari berpagar (14.11s) dan Brandon Ting Li King dalam acara lompat kijang (15.16 meter) juga meraih pingat emas.

Sementara itu, tiga pingat perak masing-masing disumbangkan Erissca Peter dari acara 200 meter wanita (26.15s), Jonathan Nyipa menerusi acara 100 meter (10.54s) dan Jonah Chang Rigan bagi acara lontar peluru wanita (14.91 meter).

Dua pingat gangsa pula disumbangkan oleh Kong Chin Poh dalam acara lontar peluru lelaki (14.54 meter) dan Abdul Rahman Lee menerusi acara lempar cakera lelaki (41.29 meter).

Terdahulu, Sarawak menghantar seramai 26 orang atlet dari Program Sukan Malaysia (SUKMA) Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Atlet Program Elit Cemerlang Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) untuk bersaing dalam kejohanan terbabit.

Suara Sarawak