CERIA….Para pemain skuad badminton Para Sukma Sarawak selepas majlis penyampaian hadiah.

KUCHING: Skuad Badminton Para Sukma Sarawak berjaya meraih empat pingat pada Kejohanan Sirkit 1 Kebangsaan Badminton Para 2022 yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tiga pingat emas masing-masing disumbangkan oleh pemain perseorangan lelaki Chung Hong Tsin kategori kerusi roda, pemain perseorangan wanita Nursyazwani Shahrom dan bergu Nursyazwani Shahrom dan Chan Lee Ching.

Sementara itu, pingat gangsa diperoleh Ashley Irenaeus Jack menerusi acara perseorangan lelaki kerusi roda.

Ketua Jurulatih, Suhaili Laiman gembira dengan prestasi hebat dipamer anak-anak buahnya.

“Satu permulaan baik kerana ia boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi mereka untuk menghadapi Sukan Para Sukma 2022 kelak,” jelas Suhaili kepada Arena Suara Sarawak.

Apa pun, Suhaili berharap pemainnya dapat mengekalkan momentum tersebut pada kejohanan (Para Sukma 2022) sebenar kelak.

Menurut Suhaili, ia penting bagi memastikan misi mereka untuk menjadikan skuad kendaliannya itu kekal sebagai penyumbang pingat kelak.

Dalam pada itu, dua pasangan bergu iaitu Hazery Serbani dan Mohd. Aqil Hazriq Nong Chee selain Gregory Ak Kanyan dan Joe Abell Ak Joseph Sidemy sekadar layak di peringkat suku akhir.

Suara Sarawak