GAMBAR: RAMIDI SUBARI

KUCHING: Sarawak United FC (SU FC) mara ke pusingan kedua saingan Piala FA 2022 selepas mencatat kemenangan mudah ( 7-0 ) ke atas kelab dari Liga M3, Ultimate FC di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam tadi.

Anak-anak buah B. Sathianathan memulakan permainan secara agresif dengan sering melakukan serangan sehingga berjaya mendahului satu gol pada babak pertama permainan.

Gol pertama SU FC dijaringkan oleh pemain import Cambodia Boris Kok pada minit ke-9 hasil sepakan penjuru kedua yang diambil oleh Lee Changhoon dari sudut sebelah kanan gawang lawan.

Penyerang sensasi SUFC, Uche Agba menambah jaringan kedua pada minit ke-51 hasil dorongan kemas dari sebelah kanan oleh Nur Shamie Iszuan Amin.

Nur Shamie Iszuan Amin sekali menghukum penjaga gol Ultimate FC dengan menyudahkan sendiri gerakan satu dua bersama Lee Changhoon di bahagian kiri gawang lawan pada minit ke-58.

Gol keempat dijaringkan oleh Uche pada minit ke ke-72 menerusi sepakan penalti sebelum gol kelima hadir selang seminit iaitu pada minit ke-73 hasil penyudah kemas dari Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang memperdayakan penjaga gol Ultimate FC.

Ultimate terus dihukum menerusi gol keenam pada minit ke-81 oleh Mohammad Zharmein Ashraf Ismail selepas kakinya terkena tendangan percuma yang diambil oleh Kone Kouassi Francis tidak jauh dari kotak penalti.

Kone akhirnya menjaringkan gol ketujuh SUFC pada minit ke-86 menerusi serangan balas pantas dengan larian kencang Zarmein Ashraf sebelum mendorong bola ke arah Kone yang berada di hadapan gawang pihak lawan.

Ultimate gagal mencari jaringan balas terhadap gawang lawan sekali gus menyaksikan keputusan kekal hingga wisel penamat.

-tamat-

Suara Sarawak