MODEN….Stephen Rundi Utom bersama Adun Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan mengguna jentera tuai di Majlis Penuaian Benih Padi Berkualiti Tanjung Purun, Lundu. Foto Ghazali Bujang.

LUNDU: Kementerian Permodenan Pertanian dan Pembangunan Sarawak berharap dapat mencapai sasaran indeks pengukur prestasi (KPI) 60 peratus pengeluaran padi di negeri ini melalui usaha pemodenan pertanian menjelang 2030.

Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia sekali gus membantu mencapai hasrat kerajaan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah bulanan golongan berpendapatan rendah (B40) sebanyak RM6,000 sebulan khususnya petani dan pesawah.

Beliau berkata, ketika ini hasil padi bagi negeri Sarawak hanya mencatatkan sebanyak 38 peratus.

“Sasaran ini penting untuk keselamatan makanan kerana kita tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan padi import dari negara luar.

BERMUTU… Stephen Rundi Utom bersama Azizul Annuar dan Pengarah Pertanian Sarawak, Dr. Alvin Chai Lian Kuet (kiri) menunjuk benih tuai padi.

“Justeru kita mahu Sarawak dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 60 peratus kerana ia adalah hasrat kerajaan negeri dan hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya dalam Majlis Perasmian Penuaian Benih Padi Berkualiti Tanjung Purun Lundu, di sini hari ini.

Tambah Rundi, dilihat Sarawak juga terus bergantung kepada beras import terutama dari Vietnam dan Thailand.

Bagaimanapun katanya, keadaan ini agak berbahaya andai negara pembekal menamatkan penjualan mereka atau menaikkan harga beras.

Justeru beliau berkata, amat penting bagi petani dan pesawah menggunakan kaedah permodenan pertanian untuk mengeluarkan benih yang boleh dipakai oleh semua petani.

Suara Sarawak