MUKAH: Pusat Pembanguanan Kemahiran Sarawak (PPKS) atau Sarawak Skill kini akan menambah beberapa kursus baharu dan terkini bagi memenuhi permintaan permain industri yang memerlukan tenaga kerja mahir.

Menurut Ketua Pegawai Komersial (Perhubungan Strategi dan Pembangunan Perniagaan) Sarawak Skills, Mohd Isham Mohd Fauzi, penambahan berkenaan melibatkan kursus dalam dron, kulinari, penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas.

“Sebagai contoh untuk kursus penjagaan warga emas, ia amat diperlukan dan majikan sanggup membayar gaji yang tinggi untuk mendapatkan khidmat penjaga untuk warga emas ini.

“Sebagai institusi pendidikan, Sarawak Skills akan memastikan pelajar lepasan SPM dapat mengikuti kursus ini mengikut kesesuaian yang ada ataupun kualiti yang dikehendaki oleh pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir ke program Majlis Aprisiasi Kakitangan Sarawak Skills Mukah di sini.

Ujarnya, beberapa kursus lain contohnya di ICATS Kolej Universiti ada menawarkan kursus seperti agroteknologi dan pelancongan serta diploma dalam penjagaan kanak-kanak.

“Ini sejajar dengan saranan dan harapan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya berharap semua pelajar yang ingin mengikuti kursus sedemikian untuk menilai balik hala tuju mereka.

“Dengan itu, mereka tahu ada permintaan daripada industri dan pekerjaan menanti selepas tamat pengajian,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, katanya, ICATS turut menawarkan program matrikulasi dalam pengurusan dan yang akan datang matrikulasi dalam sains secara percuma.

“Ini penting bagi memastikan pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah seterusnya ke peringkat sarjana dan sarjana kedoktoran,” ujarnya.

MOHD ISHAM
MOHD FAUZI

Suara Sarawak